LIMA beradik itu ketika menziarahi pusara ibu bapa mereka. FOTO Ramli Ibrahim
LIMA beradik itu ketika menziarahi pusara ibu bapa mereka. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


SAMBUTAN Aidilfitri, hari ini, paling sayu bagi lima beradik selepas kematian ibu bapa dalam kemalangan ngeri, Ogos tahun lalu.

Mereka adalah, Mohamad Izat Danial Che Azmi, 24, Mohamad Syakir Aiman, 19, Mohamad Faris Faisal, 16, Mohamad Afiz Zulhilmi, 14 dan adik bongsu mereka, Nur Damia Sofea, 8.

Lima beradik itu kini menumpang kasih dengan ibu saudara di Kampung Rahmat, dekat Gua Musang.

Mohamad Izat Danial berkata, mereka amat rindukan untuk menikmati ketupat dan rendang, hasil air tangan ibu.

Dia berkata, kebiasaannya setiap kali Aidilfitri, ibu orang yang paling sibuk membuat persiapan termasuk menyiapkan kuih dan membeli pakaian baharu.

"Sejak malam tadi, apabila saya terdengar takbir raya di televisyen, rasa sebak terkenang mama dan papa," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, di Gua Musang, hari ini.

Sebelum itu, lima beradik terbabit yang ditemani ibu saudaranya membaca surah Yasin di pusara ibu bapa mereka.

Dalam kemalangan 16 Ogos tahun lalu, dua kenderaan dua kenderaan dinaiki dua keluarga bertembung Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya, dekat sini.

Ia menyebabkan tiga maut dan 12 cedera.

Che Azmi Che Hamzah, 48, yang memandu Toyota Avanza meninggal dunia di Hospital Gua Musang, manakala isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, meninggal dunia di tempat kejadian dan tiga anaknya parah.

Pemandu van Toyota Hiace, Zulfaizan Muhamad, 43, berasal dari Pasir Puteh turut maut di tempat kejadian dan isteri bersama lapan anaknya cedera,

Ibu saudara kepada lima beradik itu, Norani Mohamed, 55, berkata, dia kerap sebak memikirkan anak saudaranya yang menjadi yatim piatu akibat kemalangan berkenaan.

Katanya, paling sayu, Nur Damia Sofea, yang sering rindukan ibunya.

"Apabila dia menangis teringat mamanya, saya bawa dia ziarah kubur untuk membaca surah Yassin, baru ceria semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 10:04 AM