TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menyampaikan sumbangan kepada Siti Hussin etika berkunjung ke rumahnya selepas dilanda ribut. FOTO ROSELAN AB MALEK
TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menyampaikan sumbangan kepada Siti Hussin etika berkunjung ke rumahnya selepas dilanda ribut. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencemar duli menziarahi rumah tiga keluarga mangsa ribut di FELDA Padang Piol, Jerantut, hari ini.

Kunjungan itu adalah bagi menyatakan rasa dukacita Baginda terhadap bencana menimpa semua mangsa dan berharap bantuan daripada kerajaan negeri serta agensi berkaitan dapat diagihkan segera.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa dan memuji semangat gotong-royong penduduk kampung membaiki rumah penduduk yang rosak.

Hadir sama pada kunjungan itu ialah Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Nazri Ngah dan ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Siti Hussin, 71, tidak menyangka bencana menimpa keluarganya mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang yang sudi turun sendiri melihat nasib mereka.

“Baginda sudah menunjukkan sikap prihatin seperti ayahandanya, (Yang di-Pertuan Agong) Al-Sultan Abdullah (Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan mereka diasuh serta dididik dengan baik oleh (Paduka Ayahanda) Sultan Ahmad Shah.

“Terima kasih atas kunjungan Baginda dan ia sangat bermakna dan kami berdoa Allah SWT sentiasa memelihara Baginda sepanjang pemerintahannya,” katanya.

Tengku Hassanal meluangkan masa hampir satu jam di kampung berkenaan sebelum berangkat ke Raub bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, Sabtu lalu, tiga kediaman rosak teruk di FELDA Padang Piol, dekat Jerantut akibat ribut kencang.

Turut terbabit dalam kejadian itu ialah tiga unit kediaman di Kampung Ulu Gali, Peruas dan Kampung Pamah Rawas di Raub.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 4:22 PM