DR Nor Azimi (berdiri, kiri) ketika lawatan kerja ke PPV Outreach di SMK Padang Piol. FOTO Roselan Ab Malek
DR Nor Azimi (berdiri, kiri) ketika lawatan kerja ke PPV Outreach di SMK Padang Piol. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyasarkan 100 peratus penduduk Pahang yang layak divaksin menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 21 September ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga kini 67.5 peratus daripada 1.2 juta penduduk yang layak sudah menerima dos pertama manakala 52.9 peratus lengkap menerima kedua-dua dos vaksin.

Katanya, dalam masa yang sama didapati 223,368 orang di negeri ini belum mendaftar.

"JKNP sedang giat berusaha melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memastikan kesemua penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebagai usaha untuk menghentikan penularan wabak pandemik ini," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir FaisalMohd Khairi.

Program Outreach vaksinasi yang dijalankan selama tiga hari itu berjaya memvaksin 1,800 penduduk di Felda Padang Piol dan penduduk kampung berhampiran.

Dr Nor Azimi berkata, untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh Pahang sedang giat menjalankan Program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach di beberapa kawasan terpilih.

"Program ini akan memberi tumpuan di lokasi luar bandar terutamanya di kawasan yang sukar menerima akses internet atau jauh dari bandar Jerantut bagi membantu memudahkan mereka mendapatkan suntikan vaksin.

"Program Outreach adalah sebagai serampang dua mata, di mana PKD turun padang di mana melalui kemudahan ini, orang ramai tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan vaksin serta memberi kemudahan kepada yang belum mendaftar," katanya.

Beliau berkata, bagi 382,000 penduduk layak yang belum disuntik, sebahagian daripada kumpulan ini belum mendaftar manakala sebahagian lagi sudah mendaftar dan hanya menunggu panggilan untuk disuntik.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sambutan program vaksinasi di kalangan guru di seluruh negeri ini adalah baik dan tiada sebarang penolakan dilaporkan kecuali yang mempunyai penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 12:47 PM