MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap dahan pokok ketika menunggang motosikal  melalui Jalan Jerantut ke Felda Padang Piol di KM12 Kampung Paya Garuk. FOTO/ROSELAN AB MALEK
MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap dahan pokok ketika menunggang motosikal melalui Jalan Jerantut ke Felda Padang Piol di KM12 Kampung Paya Garuk. FOTO/ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


PENUNGGANG penunggang motosikal maut selepas melanggar pokok tumbang dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Jerantut-FELDA Padang Piol berhampiran Kampung Paya Garuk, Jerantut, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa, Mohd Tamezi Ariffin, 48, yang berasal dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Mat Kilau 2, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan ke tempat kerjanya di bandar Jerantut.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebatang pokok tumbang di hadapannya dan mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar pokok berkenaan.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak yang kebetulan melalui tempat kejadian turut bersimpati dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 6:44 PM