Mangsa lemas ketika mandi di kawasan rekreasi air terjun Pelangi. FOTO Ihsan JBPM Pahang
Mangsa lemas ketika mandi di kawasan rekreasi air terjun Pelangi. FOTO Ihsan JBPM Pahang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


LELAKI lemas selepas mandi di kawasan rekreasi air terjun Pelangi di Sungai Lembing, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, mangsa Joshua Sia Hanyang, 31, dikatakan ke kawasan air terjun itu bersama beberapa rakan sebelum lemas.

Difahamkan mangsa mandi berseorangan dan tidak timbul ke permukaan air beberapa minit sebelum ditarik keluar pengunjung di kawasan air terjun itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa cuba diselamatkan rakannya selepas didapati tidak sedarkan diri namun usaha itu tidak berhasil.

“Rakan mangsa kemudian menghubungi bomba yang tiba 12.30 tengah hari.

“Mangsa dibawa keluar oleh bomba dengan dibantu anggota polis dari Balai Polis Sungai Lembing sebelum tiba di klinik Sungai Lembing dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, siasatan ke atas tubuh mangsa tidak menemui kesan luka atau lebam dan tiada unsur jenayah.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 8:08 PM