ORANG ramai membantu anggota Bomba dan Penyelamat mengesan dua lelaki dikhuatiri lemas. FOTO Muhamad Azim Fitri Abd Aziz
ORANG ramai membantu anggota Bomba dan Penyelamat mengesan dua lelaki dikhuatiri lemas. FOTO Muhamad Azim Fitri Abd Aziz
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“Dia memang tidak suka mandi di kawasan perkelahan kerana tidak pandai berenang, jadi saya terkejut apabila diberitahu dia dilaporkan hilang selepas mandi di sungai,” kata Sakinah Yusof Khan, ibu kepada Muhammad Ikhbal Abu Bakar Chandran, 24, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, Kuantan, semalam.

Sakinah, 47, berkata, dia bertemu anaknya buat kali terakhir di rumah mereka di Bukit Setongkol semalam yang memaklumkan ingin keluar bersama rakannya menaiki sebuah van namun tidak memberitahu lokasinya.

“Dia datang hantar motosikal ke rumah dan beritahu ingin keluar tetapi dia tidak maklumkan pergi mandi (berkelah).

“Hubungannya dengan kami sekeluarga amat erat, sentiasa mematuhi arahan dan bertanggungjawab saya sangat berharap pencarian hari ini dapat menemuinya segera,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Muhammad Ikhbal bersama seorang lagi rakannya Dola Kamarudin, 32, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai ketika mandi bersama enam rakan mereka di kawasan perkelahan berkenaan.

Mereka berlapan dikatakan menaiki van ke kawasan rekreasi itu kira-kira 2 petang sebelum dua mangsa berkenaan dihanyutkan.

Usaha mencari serta menyelamat masih dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibantu agensi lain.

Sementara itu, kakak kepada Dola iaitu Sabariah, 34, berkata, dia tidak menyangka sikap manja adiknya itu yang memintanya menyuapkan nasi kelmarin mungkin menjadi kenangan terakhir mereka bersama.

“Dia (Dola) jarang bermanja dengan kami sekeluarga seperti itu, tetapi saya tidak syak apa-apa kerana dia hanya minta saya suapkan nasi jadi saya hanya ikutkan kemahuannya.

“Apabila saya terima berita ini saya seakan tidak percaya kerana dia tidak gemar untuk berkelah apatah lagi bermandi manda di sungai,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan II, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.55 petang semalam sebelum tiba 20 minit kemudian di lokasi kejadian,

“Sebaik tiba pihak kami segera melakukan pencarian di kawasan darat sejauh 500 meter hingga ke tebing sungai namun tidak menjumpai mangsa.

“Pencarian kemudian bersambung pada pada jam 7.30 pagi ini dengan kekuatan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa serta lima penduduk kampung menggunakan tujuh bot penyelamat,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan mangsa dipercayai dihanyutkan arus sungai yang berpunca daripada pelepasan air dari Empangan Chereh, Sungai Lembing, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 1:12 PM