GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang kanak-kanak perempuan lemas, manakala dua adiknya sempat diselamatkan selepas hanyut di Sungai Mas, berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Mas di Sungai Lembing, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa Nur Syakirah Shahrizan, 12, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sungai Lembing.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa bersama keluarga dari Inderapura ke Sungai Mas untuk berkelah dan mandi di sungai berkenaan.

"Mangsa dan keluarga bertolak dari rumah mereka pada 8.30 pagi dan tiba di tempat kejadian sejam kemudian. Pada 10.15 pagi, mangsa bersama dua adik mandi berhampiran tapak perkelahan menyebabkan ketiga-tiganya tenggelam.

"Bapa mangsa yang berada di lokasi sempat menyelamatkan dua anaknya. Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan kerana sudah dihanyutkan arus.

"Orang awam dan penduduk kampung turut membantu menyelamat dan mangsa dijumpai kira-kira 10 minit kemudian dan diserahkan kepada bapa mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Noor Yusof berkata, bapa mangsa membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa adalah anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai saudara kembar.

"Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 3:27 PM