Mohd Sabran Md Sani


LIMA lelaki berusia 20 hingga 35 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki mati di Taman Sri Pulai, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditahan di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai, semalam.

“Setakat ini, lima suspek ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada jam 10 pagi hingga 4 petang semalam,” katanya hari ini.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas ditetak 10 lelaki bersenjatakan parang di Taman Sri Pulai.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa berusia 20 tahun bersama empat individu berada di sebuah taman permainan sambil minum minuman keras.

Tiba-tiba kira-kira 10 lelaki datang membawa parang dan menetak mangsa di kepala dan tangan.

Mangsa sempat melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah sejauh 30 meter dari tempat dia ditetak.

Rakan mangsa berusia 21 tahun parah, manakala tiga lagi terselamat.

Berita berkaitan

Lari dalam keadaan 'bermandi' darah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 2:45 PM