Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Iskandar Puteri: Enam lelaki warga Indonesia ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warganegara itu di Jalan Pakis 16, Taman Sri Pulai, Kangkar Pulai di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa Miswandi, 35, yang dipercayai bekerja sebagai buruh binaan ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan dan tikaman di kepala, rusuk kanan, lutut kanan dan belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa diserang sekumpulan tiga atau empat lelaki berusia antara 25 hingga 36 tahun dipercayai ketika berkunjung ke rumah sewa suspek itu.

"Hasil siasatan awal kita percaya kemungkinan kejadian berpunca akibat pergaduhan kerana cemburu yang membabutkan seorang wanita warganegara Indonesia berusia 20-an.

"Mangsa dikatakan datang ke rumah suspek bagi berbincang dan menyelesaikan perselisihan faham yang berlaku," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 2:37 PM