SUSPEK. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


SELEPAS 48 jam diburu, suspek samun lelaki, sebelum mencabul dan melakukan seks luar tabii terhadap teman wanita mangsa, ditahan Taman Saujana, Pontian, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, penahanan suspek berusia 30 tahun itu hasil kerjasama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan IPD Pontian.

Katanya, ia susulan laporan polis dibuat wanita dan teman lelakinya yang kerugian RM60,000 selepas disamun lelaki baharu dikenali di Lima Kedai, Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Menurutnya, bertindak daripada laporan polis pada 6.41 petang 23 Disember lalu, gerakan dilakukan bagi memburu suspek yang juga penganggur.

“Tiga senario penahanan suspek dilakukan dengan kejadian pertama tangkapan terhadap seorang lelaki di sebuah kedai menjual kereta di Pontian pada 6 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat diperoleh, sepasukan anggota polis menahan suspek lelaki dan merampas enam barangan.

“Antaranya, tiga telefon bimbit, serangkai kunci, satu alat kawalan jauh kenderaan dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, hari ini.

Menurutnya, senario kedua membabitkan lokasi penemuan Perodua Myvi milik mangsa yang ditemui di tepi jalan Bukit Batu, Ayer Baloi, Pontian.

“Hasil soal siasat dan dipandu arah suspek, polis menemui dan merampas sebuah Perodua Myvi bernombor pendaftaran disyaki palsu.

“Dalam senario ketiga, polis merampas sebilah parang panjang berhulu merah ukuran sepanjang kira-kira 60 sentimeter (sm) termasuk hulu di Taman Saujana, Pontian,” katanya.

Menurutnya, rentetan tiga kejadian itu, supek ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun bersenjata, Seksyen 377C KK kerana perlakuan seks luar tabii dan Seksyen 354 KK kerana cabul,” katanya.

Berikutan itu, katanya, suspek direman lima hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 1:06 PM