Zahratulhayat Mat Arif


POLIS Perak menahan 1,027 individu berusia antara 14 hingga 50 tahun dalam ‘Op Ice Breaker’ yang dijalankan sejak 29 Julai lalu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM88,995.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, jumlah tangkapan di Perak adalah tertinggi berbanding kontinjen lain di seluruh negara sepanjang lapan hari operasi itu dijalankan.

Menurutnya, operasi yang dijalankan serentak di seluruh negara berakhir hari ini adalah langkah proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau, mengesan dan mengekang aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Sepanjang operasi itu dijalankan, 89 orang ditahan kerana didapati melakukan kesalahan mengedar dadah dan dari jumlah itu 54 orang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Seramai 259 orang pula ditahan kerana memiliki dadah manakala 679 orang ditahan selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.

Hong Shuan berkata, dalam operasi itu, polis menyerbu 23 lokasi dipercayai menjadi tumpuan penagih dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM88,995.

Katanya, antara dadah yang dirampas adalah heroin 1.13 kilogram (kg), syabu (191.8gram), ganja (53.16gram), Yaba (0.15gram), ekstasi (dua pil), daun ketum (12.5kg), kodein (11.8 liter) dan air ketum (79.8 liter).

Menurutnya, suspek yang ditahan akan disiasat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tindakan pendakwaan akan diambil selepas semua siasatan selesai.

Sementara itu, Hong Shuan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak berjaya menahan 8,201 individu dari Januari hingga Julai lalu dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 5,882 bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas untuk tahun ini sehingga Julai adalah RM3.2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 12:54 PM