GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Polis Kelantan merampas pelbagai dadah bernilai RM297,776.10 dalam Operasi Tapis (Op Tapis) di seluruh negeri bermula 12 Mei lalu hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam operasi sama seramai 312 individu berusia antara 14 hingga 68 tahun termasuk 303 lelaki dan sembilan wanita berjaya ditahan.

Beliau berkata, antara dadah yang dirampas adalah heroin (23.45 gram), ganja (2.25 gram), serbuk pil yaba (10.99 gram), pil psikotropik (125 biji), kodein (3.2 liter), syabu (24.68 gram), daun ketum (4.7 kg), air ketum (426.1 liter) dan yang terbanyak pil yaba (27,748 biji).

"Dalam operasi kita berjaya merekodkan sebanyak lapan tangkapan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Tangkapan paling ramai adalah membabitkan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dengan 115 tangkapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, jumlah dadah yang dirampas dalam operasi kali ini dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 28,966 penagih dadah.

Menurutnya, seramai 21 penagih tegar atau berulang juga telah dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952 sepanjang tempoh operasi dijalankan.

"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita harta iaitu wang tunai, wang dalam akaun dan kenderaan bernilai RM83,164.46.

"Kejayaan ini adalah hasil tindakan berterusan melibatkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kerjasama masyarakat.

"Polis Kontinjen Kelantan khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri Kelantan," katanya.

Jelasnya, polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui Hotline JSJN ditalian 012-2087222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 4:22 PM