GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


SERAMAI 150 individu ditahan dalam 124 serbuan bermula 17 Jun hingga Ahad lalu dalam usaha Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membanteras aktiviti perjudian.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, operasi membanteras aktiviti perjudian itu dijalankan susulan arahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, IPK Perak dan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menjalankan serbuan selama seminggu.

“Selain tangkapan, kami turut rampas wang tunai berjumlah RM30,946. IPK Perak saja melakukan 15 serbuan.

“Tumpuan diberikan kepada aktiviti perjudian seperti ekor tanpa lesen sebanyak 79 kes, catat taruh haram atau bookie kuda (16), judi dalam bangunan (1) dan judi atas talian/mesin sebanyak 28 kes,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Lim berkata, IPK Perak sentiasa memantau aktiviti perjudian berselindung sebalik operasi pusat hiburan keluarga dan perkhidmatan pertaruhan secara atas talian menggunakan komputer riba.

“Tindakan berterusan juga akan diambil jika ada maklumat berkaitan aktiviti judi sama ada di dalam premis atau di tempat bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 4:09 PM