PAPAN membawa baju kurung milik arwah anaknya yang meninggal dunia kerana jangkitan kuman sebagai pengubat rindu. FOTO RAMLI IBRAHIM
PAPAN membawa baju kurung milik arwah anaknya yang meninggal dunia kerana jangkitan kuman sebagai pengubat rindu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


AKIBAT terlalu rindukan anak perempuan yang sudah meninggal dunia, seorang bapa sanggup membawa baju kurung milik anaknya ke mana sahaja untuk melepaskan rindu.

Baju itu bukan sahaja didakap ketika tidur, sebaliknya Papan Majid, 45, iaitu penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh turut membawa baju arwah anaknya, Fayah, 20, masuk ke dalam hutan ketika mencari rezeki.

Katanya, walaupun anaknya sudah lebih dua bulan meninggal dunia akibat jangkitan kuman, tetapi dia masih tidak mampu melupakan anak perempuan sulungnya itu.

“Saya mempunyai dua anak perempuan sahaja iaitu Fayah dan Safia berusia 18 tahun, tetapi kedua-duanya meninggal dunia selang beberapa hari kerana jangkitan penyakit sama.

“Arwah Fayah paling saya sayang kerana dia rajin membantu keluarga di rumah termasuk pandai memasak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, semalam.

Dua beradik itu antara 15 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan campak sejak awal Mei lalu.

Seramai 112 lagi kaum berkenaan yang turut dijangkiti wabak penyakit itu menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Mengulas lanjut, Papan mengakui jarang berada di rumah dan banyak masa dihabiskan di hutan atau di rumah jiran selepas kematian dua anak perempuannya.

Katanya, walaupun sudah ditakdirkan Tuhan dua anaknya meninggal dunia, namun kerinduan terhadap anak menyebabkannya hilang selera makan.

“Saya terpaksa membawa baju kurung arwah Fayah ke mana sahaja supaya jiwa saya lebih tenang kerana tidak ada cara lain untuk melepas kerinduan itu.

“Saya jaga mereka ketika sakit hingga meninggal dunia dan sehingga kini masih terbayang kesakitan mereka sehingga nafas terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 11:09 AM