HALIM  (kiri) hidup kesunyian ditinggalkan anak dan cucunya yang berpindah ke kampung lain selepas tragedi jangkitan kuman demam campak  awal tahun ini.
HALIM (kiri) hidup kesunyian ditinggalkan anak dan cucunya yang berpindah ke kampung lain selepas tragedi jangkitan kuman demam campak awal tahun ini.
Ramli Ibrahim


GUA MUSANG: Pesakit terakhir kanak-kanak perempuan Orang Asli suku Batek berusia setahun yang dijangkiti kuman akibat demam campak dibenarkan pulang dua minggu lalu.

Kanak-kanak berkenaan, Hawa Jusoh dari Kampung Kuala Koh sebelum ini menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) lebih tiga bulan selepas kematian ibunya, Farah Rahim, 20, berikutan jangkitan penyakit sama Jun lalu.

Sebaik keluar hospital, kanak-kanak berkenaan dibawa bapanya berpindah ke Kampung Aring 5, kerana bimbang penularan semula penyakit berkenaan di kampung terbabit.

Datuk kanak-kanak itu, Halim Manis, 50, berkata, bapa Hawa, Jusoh Halim, 30, tidak sanggup lagi untuk terus tinggal di Kampung Kuala Koh selepas tragedi itu.

Malah katanya, Jusoh masih terkenangkan isterinya yang meninggal dunia disebabkan demam campak sebelum disahkan jangkitan kepada anaknya pula.

“Hidup saya kini kesunyian apabila anak membawa bersama Hawa berpindah ke Kampung Aring 5 kerana menganggap Kuala Koh tidak lagi selamat.

“Saya tinggal seorang diri di bangsal kampung ini dan bukan Jusoh bersama anak saja berpindah ke kampung lain, tetapi juga beberapa keluarga lagi.

“Saya tidak mahu mengikut anak berpindah kerana sukar mencari sumber pendapatan di hutan dan tidak biasa di tempat baharu,” katanya di Kampung Kuala Koh dekat sini, semalam.

Ibu kanak-kanak Orang Asli itu, Farah, antara 15 penduduk kaum itu meninggal dunia kerana wabak demam campak sejak awal Mei lalu.

Turut meninggal dunia akibat jangkitan kuman itu, kakak Farah, Haika Rahim, 22, dan Hawa turut dijangkiti penyakit itu terus dibawa ke HGM untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:35 AM