FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


DUA bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan mereka tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan rasuah, lapan tahun lalu.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian terhadap Leftenan Kolonel (B) Kamal Baharin Nali, 50, dan Kapten (B) Fadzil Noor Alias, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan Kamal Baharin didakwa memperoleh suapan daripada Ab Rahim Ghalim melalui Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman, dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Bhd yang bernilai RM600,000.

Suapan itu sebagai upah membantu Ab Rahim mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta bagi 52 invois ARG Tech Sdn Bhd untuk kerja-kerja kontrak.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di ARG Tech yang beralamat di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, pada 14 Disember 2011.

Bagi pertuduhan itu, Kamal Baharin didakwa mengikut mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kamal Baharin juga turut didakwa meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM1.2 juta daripada Ab Rahim bagi upah yang sama di sebuah hotel di Putrajaya antara bulan Ogos dan September 2011.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sama.

Sementara itu, Fadzil Noor pula didakwa atas satu pertuduhan iaitu bersubahat membantu Kamal Baharin memperoleh suapan daripada Ab Rahim melalui Wan Ahmad Idzham, di tempat dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh Bant Singh dan Balwant Singh Sindhu.

Sepanjang perbicaraan kes itu, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 4:58 PM