Zahrah (kiri) bersama Abdulazeez (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Mohd Yusni Ariffin
Zahrah (kiri) bersama Abdulazeez (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Mohd Yusni Ariffin
Nor Azura Abdul Jalil

PERMOHONAN bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner untuk mendapatkan pasport antarabangsanya dari mahkamah dibenarkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Azura Alwi membenarkan pasport Zahrah dilepaskan bagi membolehkannya menghadiri majlis perkahwinan abang iparnya di New Zealand bermula 23 Disember ini dengan beberapa syarat tambahan.

Antara syarat yang ditetapkan oleh mahkamah, Zahrah perlu menyerahkan salinan jadual penerbangan kepada pihak pendakwaan sebelum 19 Disember.

Mahkamah turut mengenakan jaminan sementara bagi pelepasan pasport sebanyak RM20,000 dan wang jaminan itu akan dikembalikan semula selepas Zahrah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sekembalinya dari New Zealand.

Azura kemudiannya memerintahkan Zahrah memulangkan pasport selewat-lewatnya pada 7 Januari depan.

Pada prosiding itu, Zahrah diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal.

Dalam prosiding itu juga, mahkamah menetapkan 34 hari bermula 9 dan 10 Mac, 30 dan 31 Mac, 6 hingga 13 April, 1 dan 2 Jun, 6 hingga 9 Julai, 20 hingga 23 Julai, 10 hingga 14 Ogos dan 1 hingga 3 September serta 21 hingga 24 September 2020 untuk perbicaraan kes.

Pada 2 Oktober lalu, Zahrah, 60, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 33 pertuduhan menerima suapan, menyalahgunakan kuasa dan bersubahat membabitkan RM5.7 juta berhubung penganjuran program SSM, empat tahun lalu.

Anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan, 33, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima rasuah dan dua pertuduhan bersubahat dengan ibunya membabitkan RM160,000 pada 2017 dan 2018.

Zahrah didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 23 akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Abdulazeez pula didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM250,000 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(a) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 4:35 PM