GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Urusan FELCRA Training & Consultancy Sdn Bhd (FTC), Rohaizat Ahmad, diperintah membela diri atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memberi pelbagai kontrak pembekalan kepada anak dan menantunya membabitkan RM1.64 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atau keraguan terhadap pertuduhan berkenaan.

"Mahkamah mendengar, meneliti dan mempertimbangkan secara maksimum keterangan saksi pendakwaan, selain hujahan bertulis dan lisan difailkan semua pihak (pendakwaan serta pembelaan tertuduh).

"Dengan itu, mahkamah berpuas hati dan memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kamu (Rohaizat) atas 33 pertuduhan dan pindaannya mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan serta kedudukan untuk mendapatkan suapan.

"Oleh demikian, Rohaizat diperintah membela diri dan mematahkan anggapan di bawah Seksyen 23 (2) akta berkenaan," katanya.

Rohaizat memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Rohaizat diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong.

Mahkamah menetapkan prosiding bela diri selama sembilan hari iaitu 22, 27 dan 28 Mac serta 3 hingga 6, 17 dan 18 April.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-16, Rohaizat, 58, didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya antaranya sebagai pembekal peralatan elektronik dan sumbangan cenderahati, selain rakan strategik program latihan kemahiran, pembekal baju kurung dan T-shirt berkolar.

Selain itu, bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan melantik anaknya sebagai pengerusi syarikat Hexa Tech Pride sebagai pembekal antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, projektor, komputer riba, barangan elektronik dan sebagai perunding program keusahawanan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd, No 22, Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini antara 23 April 2014 hingga 27 Jun 2018.

Bagi kesemua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 12:44 PM