DATUK Abdul Kamal Mohd Mydeen (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen, Shah Alam bagi mewakili syarikat Pristine Offshore Sdn Bhd. FOTO FAIZ ANUAR
DATUK Abdul Kamal Mohd Mydeen (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen, Shah Alam bagi mewakili syarikat Pristine Offshore Sdn Bhd. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebuah syarikat penyewaan kapal menjadi organisasi komersial pertama di negara ini didakwa mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Syarikat itu didakwa bagi kesalahan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal bernilai RM321,350 bagi kerja cari gali minyak, tahun lalu.

Tertuduh, syarikat Pristine Offshore Sdn Bhd yang diwakili pengarah terbaharunya, Datuk Abdul Kamal Mohd Mydeen, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Abdul Kamal baharu memegang jawatan pengarah syarikat berkenaan pada Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, seseorang yang bersekutu dengan syarikat itu iaitu bekas pengarah, Chew Ben Ben, 64, secara rasuah memberikan kepada Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat suatu suapan bagi faedah dirinya iaitu wang berjumlah RM 321,350.

Suapan itu adalah untuk memperoleh perniagaan bagi syarikat tersebut iaitu memastikan dianugerahkan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Justeru, syarikat itu didakwa mengikut perenggan 17A(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 17A(2) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; atau kedua-duanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 29 Jun dan 14 Oktober 2020 di Bandar Kinrara, Puchong.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib manakala syarikat itu diwakili peguam Bernard Francis, Chong Ki Keong serta Azim Razak

Mahkamah membenarkan jaminan RM200,000 dan menetapkan 25 Mei depan untuk sebutan semula.

Sementara itu, Chew, 64, didakwa memberi suapan suapan berjumlah RM321,350 untuk memperolehi subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak, tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah yang sama.

Tertuduh yang ketika itu memegang jawatan pengarah syarikat Pristine Offshore Sdn. Bhd secara rasuah memberikan kepada Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat suatu suapan bagi faedah dirinya, iaitu wang sejumlah RM 321,350.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum mengikut subseksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Kinrara, Puchong antara 29 Jun dan 14 Oktober tahun lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah manakala sebutan semula ditetapkan pada 25 Mei depan.

Pendakwaan dilakukan oleh Ahmad Akram manakala tertuduh yang turut diwakili pasukan peguam yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 12:05 PM