ROHAIZAT (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Rosdan Wahid.
ROHAIZAT (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Rosdan Wahid.
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 33 tuduhan menggunakan kedudukan untuk beri kontrak pembekalan kepada saudaranya bernilai RM1.64 juta, lima tahun lalu.

Rohaizat Ahmad, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-16, Rohaizat didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya, antaranya sebagai pembekal peralatan elektronik, pembekal sumbangan cenderahati, rakan strategik program latihan kemahiran, pembekal baju kurung dan baju t berkolar.

Sementara bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, beliau didakwa melakukan perbuatan sama dengan melantik syarikat Hexa Tech Pride milik anaknya sebagai pembekal antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, projektor, komputer riba, barangan elektronik dan sebagai konsultan program keusahawanan.

Kesemuanya membabitkan jumlah RM1.648,810.60.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd, No 22, Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di Kuala Lumpur antara 23 April 2014 dan 27 Jun 2018.

Bagi kesemua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala, tertuduh diwakili peguam Hamidi Mohd Noh dan Aiman Abdul Rahman.

Terdahulu, Mahadi menawarkan ikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

Hamidi bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan tertuduh yang berpendapatan RM8,000 hingga RM9,000 sebulan, menanggung enam anak dan dua daripadanya belajar di luar negara.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai dan lapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.

Pengurusan kes ditetapkan pada 10 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 2:21 PM