Rizanizam Abdul Hamid


SERAMAI 560 mangsa membabitkan 103 keluarga di daerah Alor Gajah dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir, hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, semua mangsa ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

“Mangsa yang terjejas adalah penduduk dari 10 kampung dan satu taman perumahan dan sehingga jam 1 tengahari ini, 11 pusat pemindahan telah dibuka.

“PPS terbabit adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam dan Masjid Ar-Rasyidin.

“PPS lain adalah di lapan balai raya di Taman Seri Bayu 1, Panchor, Kampung Pegoh, Bukit Tambun, Kampung Beringin, Gadek, Bukit Balai dan Sungai Tuang yang dibuka sejak awal pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Gajah, hari ini.

ANTARA 10 kampung dan satu taman perumahan yang dilanda banjir di Alor Gajah. FOTO Rizanizam Abdul Hamid
ANTARA 10 kampung dan satu taman perumahan yang dilanda banjir di Alor Gajah. FOTO Rizanizam Abdul Hamid

Seramai 114 anggota dari pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan terbabit dalam operasi menyelamat di samping membantu mangsa di pusat pemindahan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 3:25 PM
PENDUDUK mengangkat barang untuk dialihkan ke tempat yang selamat di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. FOTO Rasul Azli Samad
PENDUDUK mengangkat barang untuk dialihkan ke tempat yang selamat di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. FOTO Rasul Azli Samad