TUN Dr Mahathir ketika menjawab soalan pada Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
TUN Dr Mahathir ketika menjawab soalan pada Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Mohd Husni Mohd Noor


KERAJAAN belum membuat keputusan mengenai pengambilalihan empat lebuh raya bertol daripada Gamuda Bhd (GAMUDA).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian ketika ditanya media mengenai perkembangan terkini proses pengambilalihan konsesi tol berkenaan.

“Belum ada apa-apa keputusan,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 di Putrajaya, hari ini.

Pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan cadangan untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol yang mana GAMUDA mempunyai kepentingan.

Empat lebuh raya itu, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).

Hasil rundingan dengan GAMUDA, Kementerian Kewangan mengemukakan tawaran rasmi pada 21 Jun lalu membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Sebelum ini juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilapor berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang mengambil alih empat lebuh raya utama, membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Katanya, ia sebagai langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan menzahirkan janji manifesto PH ketika pilihan raya umum lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 3:21 PM