Foto hiasan
Foto hiasan
Luqman Arif Abdul Karim

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol bagi tempoh mulai 1 Januari hingga 31 Disember ini.

Penangguhan berkenaan membabitkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari lalu iaitu Lebuh raya Shah Alam (Kesas), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, selepas mempertimbangkan peningkatan kos sara hidup rakyat berikutan penularan wabak Covid-19.

"Selain itu, terdapat lebuh raya dan plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol kerana diberi penangguhan sebelum ini, merangkumi 21 lebuh raya dan satu plaza tol bagi semua kelas kenderaan.

"Antaranya Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (Mex).

"Satu lebuh raya dan dua plaza tol pula diberi penangguhan bagi kenderaan kelas 1 dan kelas 5 sahaja, manakala satu lebuh raya dan tiga plaza tol ditangguhkan kenderaan kelas 5 sahaja.

"Satu lagi lebuh raya ditangguhkan kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 sahaja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 6 April lalu, kerajaan membatalkan perancangan mengambil-alih empat lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda Berhad (Gamuda) membabitkan nilai RM6.2 bilion yang ditawarkan pada 2019.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint), Kesas Sdn Bhd dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart).

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan proses pengambilalihan lebuh raya berkenaan.

Pada Jun 2019, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengemuka tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya milik Gamuda membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Tawaran itu membabitkan RM2.47 bilion untuk Litrak, Sprint (RM1.984 bilion), Kesas (RM1.377 bilion) dan Smart (RM369 juta).

Susulan penangguhan kadar kenaikan tol, Fadillah berkata, kerajaan perlu menanggung pembayaran pampasan dianggarkan sebanyak RM2.25 bilion, malah perundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi masih giat dilaksanakan.

"Kabinet bersetuju untuk ia dimuktamadkan sebelum 2023. Anggaran pampasan ini adalah berdasarkan formula pengiraan pampasan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses pengesahan trafik dilakukan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 11:53 AM