Jaharah memeriksa barang keperluan sebelum berlepas ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Jaharah memeriksa barang keperluan sebelum berlepas ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohamad Hussin


“SAYA gagahkan diri untuk menunaikan fardu haji buat kali pertama kerana tidak tahu bila akan dijemput ke sana lagi.

“Walaupun kudrat tak kuat tetapi saya bersemangat serta tak sabar menyahut panggilan Ilahi,” kata Jaharah Bakri, 72, dari Pontian, Johor.

Menurutnya, dia yang pergi seorang diri terpaksa menggunakan kerusi roda kerana lututnya sakit dan bengkak di bahagian kaki.

“Saya gagahkan diri untuk menunaikan fardu haji kerana tidak tahu bila akan dijemput ke sana lagi.

“Saya tawakal kepada Allah SWT dan berharap dipermudahkan segala urusan serta ibadah ketika di Tanah Suci.

“Tahun lalu saya dapat tawaran daripada Tabung Haji (TH) tetapi terpaksa menolak kerana sedang sakit.

“Saya terjatuh dalam bilik air menyebabkan tulang belakang di bahagian punggung patah dan terpaksa dimasukkan besi,” katanya ditemui di Kompleks TH di Sepang hari ini.

Jaharah berkata, dia ditahan dalam wad di Hospital Muar selama 21 hari akibat kecederaan yang dialami itu.

“Saya ada membuat rayuan kepada TH untuk membawa anak atau menantu saya tetapi ditolak kerana mereka baru mendaftar.

“Sebelum ini, saya bercadang nak pergi bersama adik perempuan tetapi dia sudah meninggal dunia akibat penyakit barah dua tahun lalu.

“Saya anggap dugaan ini ujian Allah SWT ke atas hambanya,” katanya yang tetap bersemangat untuk menunaikan haji.

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri muda yang terpilih mengerjakan ibadah haji ia pengalaman berharga buat mereka.

Mohd Faiz bersama isteri diberi peluang ke Tanah Suci pada usia muda. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Faiz bersama isteri diberi peluang ke Tanah Suci pada usia muda. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Mohd Faiz Ismail, 31, dan isterinya, Siti Naquiah Mohamad Isa, 28, dari Shah Alam, Selangor, menerima tawaran daripada TH Mac lalu.

“Kami berbelah bagi sama ada menerima atau tidak kerana dua anak kami Muhammad Qabus, 4, dan Muhammad Mus’ab, 3, masih kecil.

“Alhamdulillah, kami berazam nak pergi dan segala persiapan mental serta fizikal sudah dilakukan sejak awal lagi,” katanya yang menyimpan dengan TH sejak berusia 17 tahun.

Mereka antara 483 bakal jemaah haji yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berkenaan berlepas menerusi penerbangan KT06 (XY5658) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, 2.30 petang tadi dan dijangka tiba 6 petang (waktu Arab Saudi).

Kumpulan itu terdiri daripada 200 jemaah lelaki, 264 jemaah perempuan dan 19 petugas.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 4:41 PM