GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Azmil Zainal Abidin

Apakah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) berlandaskan kepada Fiqh Mazhab Empat, Al Maturidiyah dan Al Asyairah serta tasawuf muktabar adalah aliran wasati yang sederhana, menerima pandangan dan tidak jumud dalam berhukum? 

Tauhid, fiqah dan tasawuf adalah disiplin ilmu agama yang dapat membimbing ummah memenuhi tuntutan iman, Islam dan ihsan sebagai rukun hidup beragama. 

  Persoalan mengapa acuan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) yang berlandaskan Tauhid al-Asyairah dan al-Maturidiyyah, fiqah mazhab empat dan tasawuf muktabar menjadi pilihan dalam pegangan agama di Malaysia amat berkait rapat dengan latar keIslaman Nusantara amnya dan Malaysia khasnya.  

  Semua pihak wajar memperakui Nusantara adalah daerah Ahli Sunah Waljamaah dalam erti kata kefahaman dan amalan keIslamannya didominasi oleh tradisi dan teks Imam al-Ash'ari dan al-Maturidi di bidang tauhid, Imam al-Shafi'i dan Shafi'iyyah di bidang fiqah serta Imam al-Ghazali di bidang tasawuf, bahkan pakej lengkap berhubung aspek iman, Islam dan ihsan ini menjadi resepi keharmonian dan kestabilan rantau ini.

  Melalui prinsip akidah Ahli Sunah Waljamaah kefahaman beragama umat Islam dianut secara sederhana (wasatiyy) menurut ilmu yang muktabar. 

  Nas agama tidak difahami secara zahir literal yang ketat dan tidak juga ditundukkan kepada takwilan liberal longgar. 

  Sebaliknya, asas epistemologi al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah menganjurkan interaksi kefahaman nas agama menurut metode ilmiah dan hukum akal. 

  Penerimaan kedua-dua aliran ini sebagai pegangan arus perdana ummah adalah lantaran kejayaannya menggandingkan hakikat keunggulan nas wahyu dengan potensi akal secara seimbang. Dalam perbahasan ilmu tauhid al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah, upaya akal berperanan mengkhidmati kebenaran nas wahyu tanpa melangkaui batas kelemahannya di bidang metafizik ketuhanan dan alam ghaib. 

  Orientasi ini tercermin dalam wacana ketuhanan al-Asyairah dan al-Maturidiyyah melalui pendekatan takwil dan kerangka Sifat Dua Puluh.

  Berhubung isu pelaku dosa besar pula, al-Asyairah dan al-Maturidiyyah bersikap sederhana dalam menangani gejala dosa maksiat dan kekufuran. 

  Jika aliran Khawarij bersikap rigid dalam menyetarakan dosa maksiat sebagai kekufuran – lantas mudah mengkafirkan seorang Muslim yang berbuat dosa, maka aliran Murji'ah pula memandang ringan perbuatan dosa maksiat sehingga dianggap terpisah mutlak daripada hakikat iman di dalam hati. 

  Al-Asyairah sebaliknya memandang bahawa meskipun amalan zahir tidak menjadi syarah sah iman, lantas pelaku dosa maksiat menjadi fasiq tanpa kufur, namun amalan zahir tetap mempunyai akibat tertentu sehingga menjejaskan kesempurnaan iman dalam hati. 

  Iman bertambah dengan ketaatan dan berkurangan dengan kemaksiatan. Perspektif ini mempengaruhi panduan bertindak dalam menangani gejala dosa maksiat, lantas budaya masyarakat Islam Sunni bersikap tegas membanteras dosa maksiat melalui medium nasihat, dakwah, amar ma'ruf, nahi mungkar dan jihad lisan tanpa mencecah tahap ekstrim, radikal dan militan sehingga mengkafir, apatah lagi menumpahkan darah seseorang Muslim yang fasiq tanpa hak.

  Melalui panduan amalan fiqah mazhab Syafie pula, ia tersusun secara sistematik dalam perundangan Islam. 

  Oleh kerana pengembang Islam terawal di Nusantara terdiri dalam kalangan ulama sufi yang bermazhab Syafie dan ulama tempatan yang berkelulusan dari pusat pengajian Islam tanah Arab bermazhab Syafie, maka pengaruh mazhab Syafie berkembang dengan baik, apatah lagi mazhab Syafie sederhana mengimbangi madrasah ahl hadis dan ahl al-ra'yi, lantaran beliau berguru dengan Imam Malik dan murid Imam Abu Hanifah.   

  Mazhab Syafie berpengaruh di Malaysia, khasnya dalam pentadbiran hukum. Masyarakat awam menerima mazhab Syafie sebagai panduan hukum di bidang ibadat, munakahat, mu'amalat dan jinayat. Pentadbiran Kerajaan pula menjadikan dasar hukumnya sebagai keputusan muktamad dalam pengeluaran fatwa dan kehakiman di mahkamah syariah. 

  Undang-undang Majlis Agama Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor menentukan mazhab Syafie sebagai asas penafsiran hukum syarak. 

  Pusat pengajian Islam juga memberi keutamaan kepada mazhab Syafie. Justeru, pengiktirafan kepada mazhab Syafie sebagai asas dalam menafsirkan hukum, mengeluarkan fatwa dan melaksanakan hukum adalah realiti yang mesti diterima.

  Sungguhpun mazhab Syafie diperakui sebagai asas pentadbiran hukum, adakalanya terdapat penyelesaian yang merujuk kepada mazhab fiqah muktabar yang lain. 

  Hal ini melibatkan masalah kecil tertentu yang mungkin tidak dapat diselesaikan dengan mazhab Syafie atau jika pandangan mazhab Syafie tersebut dilaksanakan juga, ia dilihat berlawanan dengan kepentingan umum. Namun, ini adalah pengalaman dan pengamalan biasa dalam konteks pembaharuan pentadbiran hukum Islam di kebanyakan negara Islam lain. 

  Pengiktirafan kepada mazhab Syafie ini bukan bermakna taklid buta tetapi ia menjadi landasan bagi kesatuan dan keselarasan dalam menyelesaikan masalah sosial, lantaran mazhab Syafie telah lama sebati dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia.   

  Dalam konteks kehidupan beragama dan bermasyarakat, amalan berbentuk bidaah hasanah yang diterima oleh ulama Syafi'iyyah berfungsi sebagai medium dakwah dan pedagogi pendidikan, sekaligus memberi impak kepada keharmonian sosial dan perpaduan ummah. 

  Terdapat sejumlah amalan seumpama melafazkan niat dalam ibadat, wirid dan zikir secara berjemaah, bertahlil dan talqin di kubur, juga doa secara bertawassul dan beristighathah telah diwartakan oleh institusi agama rasmi seperti Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 2014 misalnya sebagai persoalan cabang khilafiyyah dan ijtihadiyyah, lantaran ia tidak menyalahi dalil syarak atau juga bernaung di bawah keumuman petunjuknya, malah ia diterima sebagai muktabar sejak dahulu. 

  Justeru, ia tidak wajar diperbesarkan sebagai bidaah sesat yang mengakibatkan kesyirikan dan balasan neraka. 

Melalui pengaruh tasawuf pula, kedatangan Islam ke Tanah Melayu merubah kerohanian dan akhlak orang Melayu. 

  Kehidupan mereka yang mementingkan materialisme sebelumnya beransur-ansur diimbangi oleh kehidupan beribadah dan berlandaskan syariat. Secara tidak langsung, cara hidup bertasawuf semakin diterima. 

  Bermula dengan kedatangan ahli sufi dan ulama tasawuf dari Semenanjung Tanah Arab ke Tanah Melayu, masyarakat mula mendekati dan mencenderungi pendedahan perhiasan diri dengan akhlak, penyucian hati dan jiwa. Dengan wujudnya pondok perguruan tasawuf dan tarekat, kehidupan tasawuf amat terasa terutama di kawasan yang menjadi tumpuan penduduk dan mubaligh sufi.

  Sejarah kewujudan awal kerajaan Islam tercatat melalui pengIslaman pemerintah Kerajaan Kedah Tua, Maharaja Derbar II melalui tokoh sufi Tanah Arab, Syeikh Abdullah al-Yamani di awal abad ke-12 M.   

 Ia tanda bermula kemasukan aliran tasawuf dan tarekat yang kemudian subur selepas kedatangan para mubaligh sufi Tanah Arab seperti Haramain, Yaman, Iraq, Mesir dan India. 

  Pengembangan Islam ini secara tidak langsung menyebarkan tarekat muktabarah yang diterima oleh masyarakat tempatan sebagai murid kepada tokoh sufi ini. Antara tarekat diterima ialah Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah dan Ahmadiyyah.

  Kesannya, pengajaran tasawuf dalam mendidik jiwa dan rohani berjaya menyerap masuk dalam budaya dan kehidupan yang tebal dengan mistik, animisme dan kebatinan seperti ilmu hitam, sihir, pertapaan, pemujaan roh dan semangat alam, ilmu kebal dan sebagainya sebagai amalan dan kepercayaan orang Melayu sebelum itu. Masyarakat   Melayu khasnya mula dididik dengan akhlak Islam dan pendekatan tasawuf secara beransur-ansur berdasarkan bimbingan guru mursyid, sekaligus mengambil alih amalan kebatinan mistik. Penerimaan tasawuf juga terlihat pada penghasilan karya tasawuf yang ditulis oleh ulama sufi Melayu, khasnya yang amat dipengaruhi oleh Imam al-Ghazali, Syeikh 'Ataillah al-Sakandari dan lain-lainnya. 

  Pandangan alam dan nilai luhur masyarakat setempat yang terbentuk melalui pengalaman dan budaya hidup yang kemudian dikembang dan dipertahankan sebagai identiti dan pedoman hidup inilah yang diistilahkan kearifan lokal.


Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 6:00 AM