Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA berharap diberi kesihatan yang baik supaya dapat memberi liputan terbaik perjalanan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci buat tatapan waris dan ahli keluarga jemaah di tanah air,” kata Pengarang Berita Kanan (Berita dan Digital) Harian Metro Yusri Abdul Malek.

Yusri antara 13 petugas media terpilih bagi membuat liputan ibadah haji tahun ini termasuk daripada New Straits Times (NST); RTM; Kumpulan Media Prima Berhad dan Utusan Malaysia.

Kumpulan petugas media berkenaan bersama 483 bakal jemaah haji selamat berlepas ke Madinah menerusi penerbangan KT01 (MH8100) pada 5.30 pagi hari ini.

Majlis pelepasan kumpulan jemaah itu disempurnakan Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Yusri ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji (TH) di Sepang berkata, dia syukur atas peluang diberikan TH dan ini adalah kali kedua kunjungannya ke Tanah Suci selepas menunaikan ibadah umrah beberapa tahun lalu.

YUSRI (dua dari kiri) bersama petugas media mendengar penerangan daripada Syed Saleh (tiga dari kiri) pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Petugas Haji ke Tanah Suci Makkah di Kompleks TH Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
YUSRI (dua dari kiri) bersama petugas media mendengar penerangan daripada Syed Saleh (tiga dari kiri) pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Petugas Haji ke Tanah Suci Makkah di Kompleks TH Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Katanya, sejak 2012, TH memilih Harian Metro sebagai rakan media bagi liputan ibadah haji termasuk menghantar seorang wakil ke Tanah Suci sepanjang musim haji berkenaan.

“Saya adalah wakil ketujuh bagi Harian Metro yang terpilih untuk membuat liputan musim haji.

“Tabung Haji memilih Harian Metro berikutan liputan meluas dan menyeluruh diberikan akhbar ini khususnya setiap musim haji,” katanya.

Sementara itu, penulis khas NST, Azura Abas berkata, dia turut bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali ke Tanah Suci selepas menunaikan ibadah umrah pada tahun 2005.

“Januari lalu, saya kirim doa kepada rakan sekerja yang menunaikan umrah mohon supaya Allah S.WT meluaskan rezeki untuk kembali menunaikan ibadah di Tanah Suci. Alhamdulillah, doa dimakbulkan.

“Saya menerima makluman daripada pengarang mengenai pemilihan nama sebagai petugas media ke Tanah Suci iaitu sebulan selepas saya mengirim doa kepada rakan sekerja yang mengerjakan umrah.

“Pada Februari lalu, pengarang menghubungi saya memberitahu nama tersenarai sebagai petugas haji dan selepas membuat pemeriksaan perubatan, saya layak untuk bertugas sepanjang haji pada tahun ini,” katanya.

Katanya, dia mengakui sudah lama merindui dan teringin untuk kembali sekali lagi menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Operasi haji bagi musim 1440H/2019M Fasa 1 merangkumi 62 penerbangan bermula pada hari ini dan akan berakhir pada 4 Ogos ini.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 5:33 PM