SEBAHAGIAN peserta Kursus Perdana Haji peringkat Selangor. FOTO Faiz Anuar.
SEBAHAGIAN peserta Kursus Perdana Haji peringkat Selangor. FOTO Faiz Anuar.
Iskandar Shah Mohamed


“BIARPUN usia masih dianggap muda, kami sudah bersedia menunaikan rukun Islam kelima itu dan bersyukur bakal menjadi tetamu Allah,” kata Marn Najmi Mansor, 41.

Arkitek itu dan isterinya, Haznita Abdul Halim, 41, antara bakal jemaah haji yang dipilih ke Tanah Suci, pada bulan depan.

Mereka antara 5,500 peserta yang menghadiri Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini.

Marn yang menetap di Ampang berkata, dia amat teruja bakal pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji itu.

“Saya dan isteri membuat permohonan dengan TH sejak 2007 selain membuat simpanan sebagai persiapan awal.

“Alhamdulillah, penantian kami selama 12 tahun terjawab apabila terpilih menerima tawaran itu awal tahun ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Hadir sama, Pengarah TH negeri Mohd Nasir Mohd Yusoff.

MARN Najmi dan Haznita. FOTO Faiz Anuar.
MARN Najmi dan Haznita. FOTO Faiz Anuar.

Bagi peserta, Zaharah Majid, 61, program itu memberi manfaat kepada bakal jemaah haji sebagai persiapan terakhir menunaikan rukun Islam berkenaan.

“Saya sebelum ini memang sudah mengikuti beberapa kursus haji anjuran TH dan memperoleh

banyak ilmu mengenai syarat serta rukunnya.

“Namun, kursus ini dianggap menyeluruh kerana membabitkan peserta lebih ramai dan suasana berbeza,” katanya yang akan pergi bersendirian selepas suaminya meninggal dunia tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, kursus berkenaan diharap memberi pengalaman dan pendedahan sebenar kepada semua peserta.

“Alhamdulillah, sebanyak 91 peratus daripada keseluruhan 5,900 bakal jemaah dari Selangor hadir pada program selama dua hari ini.

“Objektif utama program ini bertujuan memfokuskan mengenai pendedahan terakhir terutama amali mengenai ibadat haji yang bakal ditunaikan mereka kelak,” katanya memaklumkan penerbangan pertama dijadualkan pada 4 Julai depan.

Sultan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka berkenan berangkat merasmikan program itu di masjid sama esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 5:12 PM