Jemaah haji di Kompleks TH di Sepang. FOTO Ihsan Lembaga Tabung Haji
Jemaah haji di Kompleks TH di Sepang. FOTO Ihsan Lembaga Tabung Haji
Mohamad Hussin

“HASIL jualan pelbagai jenis burger yang diusahakan sendiri sejak dua tahun lalu, saya dapat menyimpan dalam Tabung Haji (TH).

“Syukur Allah SWT masih memberi saya peluang untuk ke Tanah Suci walaupun sudah tiga kali menolak,” kata Daud Abdul Jalil, 61, dari Stulang Bahru, Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru.

Katanya, dia ada menerima tawaran daripada TH buat kali keempat tahun ini tetapi memilih untuk mengikut pakej syarikat swasta di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“Sebelum ini, saya menolak tawaran menunaikan fardu haji kerana tuntutan kerja selain belum bersedia.

“Banyak perkara kita kena lakukan sebelum bertemu Allah SWT dari segi fizikal dan mental.

“Apabila menerima tawaran kali ini, saya tidak menolak sebaliknya sudah bersedia termasuk melakukan amal ibadat dan menyucikan diri.

“Saya mendaftar dengan TH sejak 1990 dan mula menyimpan duit sejak bekerja dengan sebuah syarikat minyak dan gas di Bandar Baru Uda (BBU), Johor Bahru,” katanya ditemui di Kompleks TH, di Sepang hari ini.

Daud berkata, sejak bersara dari syarikat berkenaan, dia mengusahakan pelbagai jenis burger seperti ayam, daging dan kambing yang dikenali sebagai ‘Wood Fire JB’.

Daud bersyukur dapat menunaikan haji tahun ini. FOTO Mohamad Hussin
Daud bersyukur dapat menunaikan haji tahun ini. FOTO Mohamad Hussin

“Wood Fire JB tidak mempunyai kedai, sebaliknya tempahan boleh dilakukan melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram dan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Burger yang ditempah itu akan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran mengikut kawasan tempat tinggal atau mengambil sendiri.

“Alhamdulillah pengeluaran sehari pelbagai jenis burger boleh mencecah 2,000 hingga 3,000,” katanya.

Menurutnya, dia sudah mengikuti kursus haji sebanyak 17 siri termasuk Kursus Haji Perdana bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuan agama.

Daud antara 483 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berlepas menerusi penerbangan KT54 (XY5788) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 6.20 petang dan dijangka tiba di Jeddah 9 malam (waktu Arab Saudi).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 4:49 PM