POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS menafikan lelaki warga Amerika Syarikat (AS) terbabit kejadian pesawat ringan terhempas di Purun berhampiran kawasan Titi, Jelebu, Sabtu lalu, adalah perisik.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, semakan mendapati lelaki berusia 60 tahun itu masuk ke negara ini sebagai pelancong sah, sekali gus menolak dakwaan itu yang tersebar di media sosial.

“Dakwaan kononnya lelaki warga AS itu menjalankan aktiviti risikan adalah tidak benar. Dia masuk (Malaysia) sebagai pelancong sah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, Jelebu, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengadakan lawatan di lokasi nahas.

Mohamad berkata, berdasarkan siasatan polis terhadap bangkai pesawat ringan itu mendapati ia jenis ‘Technam’ bukannya jenis ‘Glider’ seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, ditanya mengenai status lapangan terbang yang digunakan sebagai tempat aktiviti penerbangan glider di kawasan itu, katanya, ia bukan di bawah siasatan polis.

“Sama ada ia (lapangan) sah atau haram, ia akan diputuskan oleh agensi berkaitan dan bukannya polis,” katanya yang juga menyatakan hasil siasatan mengenai punca nahas itu akan diumumkan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara.

Harian Metro hari ini melaporkan, polis masih belum dapat merakam keterangan dua mangsa kemalangan sebuah pesawat ringan yang terhempas di Purun, Titi, Sabtu lalu.

Mangsa lelaki AS berusia 60 tahun dan dan lelaki tempatan berusia 56 tahun itu dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Mangsa dikenal pastis

Misteri pesawat glider terhempas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 1:49 PM