Lelaki warga emas maut selepas terjatuh perigi dalam rumahnya di Pekan Titi, Jelebu, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Lelaki warga emas maut selepas terjatuh perigi dalam rumahnya di Pekan Titi, Jelebu, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


LELAKI warga emas maut selepas terjatuh perigi dalam rumahnya di Pekan Titi, Jelebu, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu Mohd Fazill Mohd Yunus berkata, kejadian pada 5.45 petang disedari anak lelaki mangsa yang baru pulang dari urusan kerja di Seremban.

Katanya, mangsa yang berusia 74 tahun dipercayai terjatuh ke dalam perigi sedalam lima meter itu pada 2 petang sebaik anaknya meninggalkan rumah.

"Sebaik pulang, anaknya mencari bapanya namun terkejut melihat bapanya di dalam perigi yang terletak di dalam rumah itu.

"Anak mangsa kemudian memaklumkan kejadian di Balai Polis Titi sebelum sepasukan anggota bomba tiba di lokasi pada 5.58 petang,” katanya.

Mohd Fazill berkata, bomba mengambil masa kira - kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat.

Keterangan gambar: Mayat mangsa ditemui dalam perigi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 8:30 PM