GAMBAR fail menunjukkan polis menjalankan siasatan di lokasi pesawat terbabit terhempas. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail menunjukkan polis menjalankan siasatan di lokasi pesawat terbabit terhempas. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


PEMBINAAN bangunan dan landasan terbang persendirian di Kampung Sungai Rotan, Titi, Jelebu, tidak mendapat kebenaran Majlis Daerah Jelebu (MDJ).

Yang Dipertuanya, Wan Mud Shardihan Wan Dahalan berkata, pihak berkenaan pernah menghantar surat permohonan kebenaran merancang bagi pembinaan landasan dan kemudahan lain di lokasi itu kepada MDJ pada awal Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) MDJ pada 26 Februari lalu menolak permohonan terbabit.

“Antara permohonan yang dikemukakan adakah menukar status tanah (ketika ini status pertanian) pembinaan bangunan sementara bagi menyimpan peralatan dan pesawat serta membina landasan pesawat ringan.

“Status pemilikan tanah selain perlu merujuk dan mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) antara sebab MDJ menolak permohonan itu,” katanya ditemui pemberita pada program Laman Juadah Jelebu di Perkarangan Tugu Tangan, di Jelebu, semalam.

Program dirasmikan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad.

Mengulas lanjut, Wan Shardihan berkata, MDJ tetap membenarkan pihak berkenaan membuat rayuan termasuk mengemukakan surat kelulusan daripada CAAM.

“Namun, semakan mendapati sehingga kemalangan pesawat terhempas pada 29 Jun lalu, tiada sebarang surat rayuan dikemukakan,” katanya.

Jelas beliau, status tanah pertanian di landasan terbang termasuk bangunan sedia ada perlu ditukar terlebih dahulu bagi sebarang tujuan pembangunan, namun akan mengambil masa kerana melalui pelbagai prosedur.

Menurutnya, MDJ juga berpendapat pembinaan landasan terbang yang berhampiran kediaman penduduk tidak sesuai seterusnya mengesyorkan supaya merujuk kepada CAAM.

“Bangunan dan landasan berkenaan boleh dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah berikutan dibina tanpa kebenaran,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua lelaki melecur pada bahagian kepala, muka dan badan selepas pesawat ringan dinaiki terhempas di Purun, Titi.

Siasatan mendapati pesawat ringan yang dinaiki mereka baru berlepas dari sebuah landasan milik persendirian berhampiran lokasi terhempas.

Berita berkaitan

Bukan perisik lah!

Mangsa dikenal pastis

Misteri pesawat glider terhempas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 11:34 AM