PESAWAT gilder yang ditemui terhempas. FOTO Ihsan Polis
PESAWAT gilder yang ditemui terhempas. FOTO Ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap


MANGSA pesawat glider atau pesawat layang yang ditemui terhempas di kawasan Purun berhampiran Titi, Jelebu, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa ialah lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dan lelaki tempatan berusia 50-an.

Beliau berkata, warga AS itu mengalami kecederaan melecur di kepala, tangan kanan serta kedua kaki.

Katanya, seorang lagi mangsa pula melecur di muka, tangan serta kaki.

“Kedua-dua mangsa sebelum itu mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu. Mereka memberi alasan kecederaan dialami akibat bengkel tempat bekerja terbakar.

“Mereka tidak menceritakan kejadian sebenar kepada petugas di Hospital Jelebu ketika mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, pesawat glider ditemui terhempas di kawasan Purun 3.30 petang semalam.

Polis menemui bangkai pesawat itu selepas menerima maklumat awam, namun tiada mangsa ditemui di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Misteri pesawat glider terhempas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:07 AM