MAYAT mangsa. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


LELAKI yang terjatuh ke dalam laut dari atas feri, petang semalam ditemui lemas oleh nelayan di Persiaran Gurney, Georgetown, hari ini.

Penemuan kira-kira jam 10.40 pagi itu sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat lelaki dikenali Tham Kok Keong, 47 itu ditemui pada jarak 4.8 kilometer dari tempat dia terjatuh.

“Operasi SAR bermula dari petang semalam dan ditamatkan jam 12.30 tengah malam tadi ekoran cuaca gelap.

“Kemudian operasi diteruskan pagi ini sebelum pihak bomba menerima panggilan daripada nelayan menyatakan mangsa sudah ditemui,” katanya, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang bekerja sebagai Pengurus Ejen Logistik sudah berpisah dengan isterinya dan mereka mempunyai dua anak.

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Dalam kejadian 6.15 petang semalam, mangsa dikatakan terjatuh selepas 10 minit feri bertolak dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

Petugas yang membuat pemeriksaan di bahagian bawah dek feri mendapati sebuah kereta Honda City ditinggalkan tanpa pemandu dan penumpang.

Polis yang menjalankan siasatan mendapati kenderaan itu didaftar atas nama seorang wanita Lye Ah Yin, 73, beralamat di Permatang Pauh.

Pelbagai aset daripada beberapa agensi antaranya bomba, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang( APM) terbabit SAR bagi mengesan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 1:21 PM