Mayat Muaz dijumpai satu batu nautika dari lokasi dilaporkan terjatuh ketika mangsa cuba menyelamatkan bot yang dihanyutkan arus. FOTO ihsan APMM
Mayat Muaz dijumpai satu batu nautika dari lokasi dilaporkan terjatuh ketika mangsa cuba menyelamatkan bot yang dihanyutkan arus. FOTO ihsan APMM
Mohamad Fahd Rahmat


SELEPAS hampir 24 jam dilaporkan hilang di laut, mayat seorang nelayan ditemui pada 3.10 petang hari ini di muara Sungai Parit Keroma Laut Muar, Johor.

Mayat Muaz Abdul Mutalib, 20, ditemui satu batu nautika dari lokasi dia dilaporkan terjatuh ketika cuba menyelamatkan bot yang dihanyutkan arus.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, mangsa sebelum itu berada di lokasi kejadian bagi mendirikan pondok kupang 3.30 petang semalam.

"Bot pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat pergi lebih dekat disebabkan air surut dan mayat mangsa kemudian dibawa bot nelayan.

"Mayat dari bot nelayan kemudian dipindahkan ke bot bomba menuju ke Jeti Pasukan Gerakan Marin Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, terdahulu, operasi SAR mangsa dilakukan sejak semalam sebelum disambung semula pada 7 pagi hari ini.

Semalam, media melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan operasi SAR seorang nelayan yang hilang ketika mendirikan pondok kupang di perairan Parit Keroma Laut, Muar Johor 3.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 4:56 PM