LOKASI mangsa dipercayai terjatuh. FOTO IHSAN PDRM
LOKASI mangsa dipercayai terjatuh. FOTO IHSAN PDRM
Farah Suhaidah Othman


SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam landskap di sebuah rumah di Kampung Labu, Lubok Merbau, Kuala Kangsar, semalam.

Mangsa, Muhammad Aqil Irfan Muhammad Haffiez disahkan meninggal dunia pada jam 1 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, ketika kejadian mangsa bersama ibunya berusia 38 tahun menghadiri rumah terbuka di rumah berkenaan pada jam 10 pagi semalam.

Katanya, ketika sedang menikmati jamuan, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolam tanpa disedari ibunya.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, ibu mangsa berada dalam rumah manakala mangsa berada di luar rumah bermain bersama saudara mara lain.

“Sepupu mangsa berusia 16 tahun menyedari mangsa tertiarap dalam kolam sebelum menjerit meminta tolong,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Razali berkata, seorang daripada saudara mangsa yang bekerja sebagai jururawat cuba memberi bantuan pernafasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia jam 1 pagi.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Menurut Razali, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati rumah berkenaan adalah rumah kampung dan mempunyai kolam hiasan dengan kedalaman kira-kira satu meter.

Katanya, jarak rumah berkenaan dengan kolam yang tidak dipagar kira-kira empat meter.

“Berikutan itu, ibu mangsa ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 12:08 AM