GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun lemas ketika mandi di kolam renang rekreasi sebuah inap desa di Jalan Sungai Panjang, di sini, semalam.

Kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Merbau Berdarah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad berkata, kejadian berlaku jam 5.05 petang semasa pengadu yang juga bapa kanak-kanak berusia 36 tahun membawa empat anaknya termasuk mangsa ke inap desa itu untuk mandi.

"Selepas selesai mandi, pengadu keluar dari kolam kanak-kanak untuk membilas badan dan mendapati mangsa tiada di sisinya.

"Dia kemudian mencari sebelum terdengar jeritan anak sulungnya berusia 12 tahun yang menemui mangsa di kolam dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khalid berkata, pengadu mengeluarkan anaknya yang tidak memakai pelampung lalu cuba memberikan bantuan pernafasan.

"Bagaimanapun, mangsa tidak sedarkan diri dan bapanya membawanya ke Klinik Kesihatan Merbau Berdarah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa anak keempat daripada lima beradik.

Menurutnya, pengadu dan mangsa tidak menginap di inap desa itu namun sebaliknya hanya berkunjung untuk mandi.

"Kedalaman kolam renang dewasa berukuran 1.2 meter, manakala kedalaman kolam kanak-kanak pula adalah 0.3 meter.

"Mayat berada di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat," katanya.

Khalid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 8:42 PM