Lokasi kejadian kemalangan yang meragut nyawa mangsa. FOTO ihsan pembaca
Lokasi kejadian kemalangan yang meragut nyawa mangsa. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Seorang wanita maut selepas kepalanya bergesel pada bahagian pengorek belakang sebuah jentolak ketika membonceng motosikal di kawasan pembaikan jalan di Kilometer 17 Jalan Kuala Kangsar-Manong di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari berdekatan Kampung Lempor Hilir itu, Zuriati Laza Nazeri, 39, yang membonceng motosikal ditunggang seorang lelaki maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha LC dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Manong ke Kuala Kangsar.

Menurutnya, ketika sedang melalui kawasan itu, bahu jalan di hadapan laluan mangsa yang sedang dalam kerja pembinaan ditutup.

"Ketika itu, jentolak berkenaan sedang dikendalikan seorang lelaki berusia 47 tahun berada pada kedudukan melintang di hadapan laluan mangsa.

"Sewaktu cuba memotong jentolak itu, kepala mangsa yang mengenakan topi keledar bergesel pada bahagian pengorek belakang jentolak terbabit.

"Akibat perlanggaran itu mangsa terjatuh di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, penunggang motosikal berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, termasuk pemandu jentolak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 9:53 PM