Dr Mamad (tiga kiri) bersama Dr Alias (tiga kanan) ketika mengadakan lawatan di Jambatan angkat hari ini. FOTO Ghazali Kori
Dr Mamad (tiga kiri) bersama Dr Alias (tiga kanan) ketika mengadakan lawatan di Jambatan angkat hari ini. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman


JAMBATAN angkat atau ‘drawbridge’ yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di muara Sungai Terengganu, dijangka dibuka semula kepada orang ramai mulai 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kelulusan akhir jambatan ikonik itu dijangka dikeluarkan 30 Jun ini.

“Kerajaan negeri dan ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) akan mengadakan perbincangan berhubung perkara ini.

“Kita jangka diserah kepada kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya iaitu TIP (Terengganu Incorporated Properties) dan dijangka drawbridge ini mendapat kelulusan akhir 30 Jun ini sebelum dibuka 1 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja untuk melihat perkembangan proses penambahbaikan di jambatan itu hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Mengulas lanjut, Dr Mamad berkata, antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah meninggikan pagar dan menaikkan papan iklan di kawasan rehat berikutan pagar sedia ada agak rendah serta berbahaya.

“Langkah menaikkan papan iklan dan meninggikan pagar ini adalah bagi tujuan keselamatan.

“Kita juga akan sediakan kawasan parkir kerana ramai pengunjung teruja berhenti di tepi ‘Pantai Miami’ dan berhampiran drawbridge.

“Bagi cadangan menyediakan laluan basikal agak rumit untuk dilaksanakan kerana kawasan drawbridge ini agak terhad,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membuka tender bagi kerja menghalang hakisan pantai pada 1 Julai ini.

“Berkaitan kawasan hakisan ombak, kita akan buka tender segera kerana bimbang laluan ke drawbridge terhakis pada musim tengkujuh nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mamad berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan ECER bagi pelaksanaan fasa kedua yang membabitkan laluan dari bulatan berhampiran drawbridge ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

“Perbincangan membabitkan proses pengambilalihan tanah dan rekaan.

“Apabila siap nanti, laluan ini akan memudahkan orang ramai dari KTCC (Kuala Terengganu City Center) Selatan ke LTSM yang hanya memakan masa antara lapan hingga 10 minit saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 2:16 PM