JAMBATAN angkat atau ‘draw-bridge’ di Kuala Terengganu akan dibuka sebelum Aidilfitri. FOTO BERNAMA
JAMBATAN angkat atau ‘draw-bridge’ di Kuala Terengganu akan dibuka sebelum Aidilfitri. FOTO BERNAMA
Hanneeyzah Bariah Baharin


MASALAH kesesakan jalan raya yang sering dihadapi pada musim perayaan di Kuala Terengganu dijangka selesai selepas jambatan angkat atau ‘draw-bridge’ akan beroperasi sebelum Aidilfitri, awal Jun depan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jambatan berkenaan dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mengendalikan projek itu dijangka menyerahkan projek berkenaan kepada kerajaan negeri pada 30 Mei ini.

“Jambatan angkat ini dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini dan tempoh sebulan diambil untuk melalui beberapa siri ujian keselamatan sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri dan dibuka kepada umum.

“Sekiranya segala proses termasuk urusan jalan raya seperti lampu isyarat dan baik pulih jalan dapat disiapkan, kita optimis ia boleh mula digunakan sebelum Aidilfitri iaitu pada awal Jun.

“Jika sebelum ini pengguna hanya boleh menggunakan Jambatan Sultan Mahmud atau jalan alternatif di Durian Burung, jambatan ini satu lagi pilihan yang akan mengurangkan kesesakan dihadapi terutama pada musim perayaan dan cuti panjang,” katanya.

Pembinaan jambatan unik yang juga projek ECER itu membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu pertama seumpamanya di tanah air dan Asia Tenggara.

Jambatan ikonik sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:34 PM