Zatul Iffah Zolkiply


AKIBAT cemburu buta, lelaki warga Pakistan bertindak memukul kekasihnya dengan kayu, selain menampar dan menyepak manysa dalam kejadian di flat di Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Kejadian dipercayai berlaku pada 8.30 malam ketika mangsa berusia 21 tahun sedang berehat di rumah sewanya sebelum didatangi suspek dalam keadaan marah.

Menurut sumber, mangsa kemudian bertanya kepada suspek berusia 25 tahun itu sebelum lelaki terbabit menuduh mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Katanya, mangsa menafikan tuduhan suspek sehingga membawa pertengkaran mulut antara mereka dan suspek yang gagal mengawal perasaan marah menampar pipi mangsa beberapa kali.

“Suspek turut memaksa mangsa ke rumah sewanya yang terletak di blok bersebelahan dan ketika berada di rumah itu, mangsa ditolak sehingga jatuh serta dipukul menggunakan kayu.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut mencucuk dada mangsa menggunakan kayu berkenaan selain turut menyepak kepala mangsa tanpa menghiraukan tangisan wanita terbabit.

“Mangsa yang menanggung kesakitan di seluruh badan mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada Selasa lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 2:24 PM