KUALA LUMPUR 06 JULAI 2018. (Gambar Hiasan Kemurungan/Wanita) Keluarga perlu beri sokongan untuk ahli keluarga yang mengalami masalah kemurungan. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 06 JULAI 2018. (Gambar Hiasan Kemurungan/Wanita) Keluarga perlu beri sokongan untuk ahli keluarga yang mengalami masalah kemurungan. NSTP/EMAIL
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI ‘naik hantu’ apabila mengugut mahu membunuh isterinya selepas bengang wanita itu menuntut cerai dalam kejadian di Chendering, Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah hari itu ketika mangsa berusia 35 tahun berada di rumah sebelum bertengkar dengan suspek berusia 39 tahun kerana masalah kewangan dihadapi mereka.

Menurut sumber, pasangan itu sebelum ini kerap bergaduh kerana sikap suspek yang malas bekerja selain dipercayai terbabit dengan dadah.

Katanya, mangsa dikatakan sering menuntut cerai, namun permintaannya itu tidak diendahkan suspek.

“Bagaimanapun, pada hari kejadian, suspek yang gagal mengawal perasaannya ‘naik hantu’ sebelum mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya menyebut perkataan cerai itu.

“Mangsa turut mendakwa sering dipukul suspek tetapi tidak membuat laporan polis namun mengambil keputusan melaporkan perbuatan suspek kerana bimbang keselamatan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:24 PM