GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


BENGANG diminta menjaga anak, seorang lelaki naik hantu apabila tergamak menampar isterinya dalam kejadian di Kampung Raja, Kuala Terengganu, kelmarin.

Selain menampar isterinya berusia 34 tahun, suspek berusia 40-an turut mengugut mahu membunuh bapa mentuanya sebaik mengetahui lelaki itu dalam perjalanan ke rumahnya untuk membawa balik mangsa dan anak-anak ke Dungun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, mangsa yang baru pulang dari tempat kerja tiba di rumah pada 2 petang sebelum suspek bertindak memarahi isterinya kerana bengang terpaksa menjaga anak-anak mereka.

"Pada mulanya pasangan itu pada bertikam lidah namun pertengkaran bertukar serius apabila suspek tiba-tiba menampar muka mangsa.

"Suspek juga ada membaling kasut ke arah mangsa namun wanita terbabit sempat mengelak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Razmi berkata, suspek turut mengasah sebilah parang sambil mengugut mahu membunuh bapa mentuanya.

Razmi berkata, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan anak-anak nekad keluar dari rumah ketika suspek mengasah parang di dapur.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 323 KK dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:38 PM