GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


PERBUATAN tidak bermoral seorang lelaki warga emas mencabul seorang wanita menghidap masalah mental terbongkar selepas tindak tanduknya disedari adik wanita terbabit dalam kejadian di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, pagi semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun yang berada di luar rumah terkejut melihat suspek berusia 74 tahun naik ke tingkat atas dan pergi ke bilik kakaknya berusia 40-an sebelum mengekorinya.

Menurut sumber, suspek yang menyedari kehadirannya disedari adik mangsa segera melarikan diri sebelum lelaki terbabit menyoal mangsa kerana mengesyaki suspek ada memaklumkan sesuatu.

Katanya, adik lelaki mangsa sebelum itu ada terdengar mangsa menegur perbuatan suspek yang dikatakan tidak baik dan memalukan.

“Yakin suspek melakukan perkara tidak elok terhadap mangsa, lelaki itu segera menyoal kakaknya sebelum mangsa memaklumkan suspek ada merabanya sebelum ini.

“Malah, mangsa memaklumkan suspek kerap masuk ke dalam rumah terutama pada waktu pagi kerana tiada orang pada waktu berkenaan.

“Susulan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 4:43 PM