Op Samseng Jalanan memeriksa 50 motosikal dan 34 individu. FOTO Ihsan PDRM
Op Samseng Jalanan memeriksa 50 motosikal dan 34 individu. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


SEKUMPULAN mat rempit diserbu dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan membabitkan laluan Teluk Intan ke Hutan Melintang, hari ini.

Serbuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada 1 pagi itu memeriksa 50 motosikal dan 34 individu membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, bertindak atas maklumat awam Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hilir Perak, membuat pemeriksaan terhadap pengguna motosikal yang berada di lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, operasi itu juga membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah; Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik; Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Bahagian Sumber Strategik dan Teknologi IPD Hilir Perak.

“Hasil pemeriksaan 69 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (22); tidak mengikut laluan betul (13); tiada lesen (9); tiada cukai jalan (8); ubahsuai kenderaan (7); tiada cermin sisi (6) dan ekzos tidak mengikut peraturan (4).

“Daripada 50 motosikal yang diperiksa, 18 daripadanya ditahan kerana penunggang motosikal dipercayai melarikan diri ketika operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang daripada lapan penunggang yang menjalani ujian air kencing juga disahkan positif Methamphetamine dan remaja lelaki berusia 17 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Jajaran WCE Banting-Taiping Seksyen 8 dari persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 kilometer (KM) dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan raya bermula 6 petang 31 Mei lalu.

Setakat ini polis sudah membuat dua serbuan di lebuh raya berkenaan yang dijadikan litar lumba haram dengan serbuan pertama 26 Mei lalu membabitkan 283 individu dan 277 motosikal diperiksa serta 374 saman dikeluarkan dan 11 motosikal disita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 8:05 PM