TIGA remaja lelaki yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya ditahan polis. FOTO IHSAN POLIS
TIGA remaja lelaki yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya ditahan polis. FOTO IHSAN POLIS
Noor Hidayah Tanzizi


TIGA lelaki termasuk dua remaja yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi 'wheelie' di sekitar Jalan Sultan Abdullah dan Jalan Pintas Changkat Jong - Padang Tembak, Teluk Intan ditahan polis, hari ini.

Semua suspek ditahan dalam Op Samseng Jalanan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak yang bermula 12.30 tengah malam hingga 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menahan tiga individu termasuk dua remaja lelaki berusia antara 17 hingga 21 tahun dan menyita tiga motosikal ditunggang mereka.

“Penahanan tiga suspek dan rampasan tiga motosikal itu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi mengangkat tayar hadapan.

“Dalam operasi itu juga tujuh motosikal diperiksa dan hasilnya 26 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti mengubahsuai nombor plat kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tiada cermin pandang sisi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, BSPT IPD Hilir Perak akan terus mempergiatkan usaha membendung samseng jalanan di sekitar daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 8:47 PM