KEMALANGAN pertama di WCE. FOTO ihsan pembaca
KEMALANGAN pertama di WCE. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi

JAJARAN Seksyen 8 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Hutan Melintang-Teluk Intan dan baru dibuka dua hari lalu sudah mencatatkan kemalangan pertama.

Kemalangan 10.30 malam tadi itu berlaku di Kilometer 157.3 WCE arah selatan membabitkan sebuah kereta dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati lelaki memandu kereta berkenaan bersendirian dari arah Teluk Intan menuju ke Sabak Bernam, Selangor.

Menurutnya, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi penghadang jalan.

“Kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan dan bahagian kiri pintu.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan pertama yang dicatatkan lebuh raya berkenaan sejak ia mula dibuka Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi di Teluk Intan, hari ini.

Mohd Marzukhi turut mengingatkan orang ramai terutama pengguna lebuh raya berkenaan agar sentiasa mematuhi had laju dan peraturan ketika memandu terutama pada musim perayaan ini

“Pandulah dengan cermat dan berhati-hati bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Jajaran Seksyen 8 WCE dibuka secara rasmi bermula jam 6 petang, Jumaat lalu dengan laluan sepanjang 19.1 kilometer yang bertujuan mengurangkan kesesakan terutama sempena cuti perayaan Aidilfitri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 5:09 PM