JAJARAN WCE dekat susur keluar Changkat Cermin. FOTO arkib NSTP
JAJARAN WCE dekat susur keluar Changkat Cermin. FOTO arkib NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop


SATU daripada tiga jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Perak iaitu Seksyen 8 membabitkan Hutan Melintang - Teluk Intan sudah diperiksa dan disahkan mematuhi keperluan ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hing berkata, pemeriksaan di tapak jajaran Seksyen 8 itu sudah dilaksanakan bersama LLM.

Katanya, pemeriksaan itu membabitkan semakan terhadap penyiapan fizikal lebuh raya di seksyen berkenaan serta aspek keselamatan.

“Hasil pemeriksaan itu mendapati jajaran Seksyen 8 sudah mematuhi keperluan ditetapkan oleh LLM dan boleh dibuka kepada pengguna tertakluk kepada proses pewartaan.

“Tarikh pembukaan akan diumumkan oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Pada 9 Mei lalu, media melaporkan satu daripada tiga jajaran WCE yang membabitkan jajaran di Perak akan dibuka sebelum sambutan Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, kerajaan negeri yakin WCE dapat dibuka mengikut tempoh ditetapkan dan jajaran sejauh 1.9 kilometer (km) dari Hutan Melintang ke Teluk Intan akan dibuka sebelum Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:18 PM