KENDERAAN dalam feri mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menyeberang Sungai Batang Lupar. FOTO ihsan pembaca
KENDERAAN dalam feri mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menyeberang Sungai Batang Lupar. FOTO ihsan pembaca
Muhd Amirul Faiz Ahmad


JIKA mahu menguji diri sama ada mampu bersabar selepas sebulan berpuasa, bolehlah berkunjung ke Pusa untuk ke Beladin atau Triso menuju ke Sebuyau.

Kemampuan bersabar benar-benar teruji melihat kenderaan bergerak seperti ‘siput’, berikutan kekurangan feri beroperasi terutama di kawasan Sungai Batang Lupar, Sri Aman pada musim perayaan.

Ada yang hilang sabar kerana terpaksa menunggu berjam-jam dan sanggup memotong barisan akibat tekanan menunggu dalam kenderaan sehingga nyaris berlaku pergaduhan.

Masakan tidak, setiap tahun pada musim perayaan, kenderaan terpaksa beratur sepanjang tiga kilometer semata-mata menunggu giliran menaiki feri bagi menyeberang sungai untuk berkunjung ke rumah sanak saudara.

Pengguna feri yang mahu dikenali sebagai Sulaiman, 45, berkata jumlah feri beroperasi menjadi punca kepada kesesakan teruk terutama ketika musim perayaan.

“Di Pusa ada dua feri, manakala di Triso ada tiga. Awak boleh tengok sendiri berapa panjang kereta beratur untuk ke seberang sama ada mahu ke Beladin atau Sebuyau.

“Lagi satu, kenderaan bernombor plat ‘SG’ janganlah memotong barisan, silalah beratur seperti orang lain juga,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Kenderaan plat ‘SG’ dan ‘QSG’ merujuk kepada kenderaan milik kerajaan negeri.

Sulaiman berkata, tempoh masa untuk feri menyeberang Sungai Batang Lupar, kira-kira 45 minit.

“Feri mula beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam. Namun, penduduk kampung sekitar mencadangkan tahun depan, operasi feri dibuat 24 jam bagi keselesaan semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 2:47 PM