ORANG ramai menyambut baik langkah kerajaan menambah jumlah feri menjelang Aidilfitri dan Hari Gawai. FOTO Khalid Latip
ORANG ramai menyambut baik langkah kerajaan menambah jumlah feri menjelang Aidilfitri dan Hari Gawai. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


PENDUDUK kawasan pesisir Sarawak yang masih bergantung kepada perkhidmatan feri menarik nafas lega dengan keputusan kerajaan untuk menambah jumlah perkhidmatan kenderaan awam itu menjelang sambutan Hari Gawai dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ini kerana setiap kali perayaan, pengguna kenderaan terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan perkhidmatan itu terutama di Batang Lassa dan Igan.

Penduduk Matu, Awang Suhaili Awang Mutalib, 38, berkata, langkah menyediakan feri ketiga itu bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik tetapi juga mengurangkan tekanan pengguna kenderaan yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan terbabit.

Beliau berkata, masa menunggu boleh menjangkau sehingga empat jam dan lebih teruk apabila ada pengguna terpaksa bermalam di pangkalan feri berkenaan.

“Saya pasti penduduk di Matu, Daro, Igan dan kawasan sekitarnya boleh menarik nafas lega kerana dengan adanya feri ketiga ini, ia memberi manfaat sangat besar disamping memudahkan pengguna untuk pulang ke kampung menyambut lebaran bersama keluarga,” katanya.

Mohd Junaidi Hashim, 40, dari Daro pula berkata, kekurangan jumlah feri menyebabkan mereka mengalami kesulitan pada waktu puncak terutama ketika hujung minggu, cuti persekolahan dan musim perayaan.

Katanya, dengan penambahan sebuah lagi feri yang beroperasi mulai 25 Mei ini, pengguna tidak perlu lagi menunggu lama untuk balik ke kampung masing-masing.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak menambah sebuah lagi feri menjadikan tiga feri beroperasi di pangkalan Batang Lassa dan Igan. Langkah yang diambil kerajaan ini pasti akan memudahkan urusan perjalanan kami.

“Saya bersyukur kerajaan mendengar rintihan kami dan berharap penambahan jumlah feri ini diteruskan tidak hanya pada musim perayaan tetapi setiap hari,” katanya.

Semalam, Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak Datuk Julaihi Narawi mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk menambah bilangan feri dan melanjutkan masa operasi feri bermula 25 Mei hingga 16 Jun ini bagi menampung aliran trafik sempena musim cuti sekolah, Hari Gawai Dayak dan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Sepanjang tempoh itu, lima feri tambahan disediakan di pangkalan feri Sungai Sian, Bintangor, Batang Lawas, Limbang, Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan, Mukah.

Beliau berkata, penambahan bilangan feri dan lanjutan masa operasi perkhidmatan feri dilakukan bagi memastikan laluan trafik di sepanjang jalan pesisir Sarawak khususnya membabitkan kenderaan awam itu berkenaan lancar.

Pada Januari tahun ini, sebanyak 34,735 kenderaan menggunakan perkhidmatan feri Sebuyau Triso, meningkat kepada 38,549 pada Februari tetapi menurun kepada 38,226 pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:25 AM