AHMAD Shabery melawat projek Kompleks Pendaratan Ikan Beladin yang tertangguh.
AHMAD Shabery melawat projek Kompleks Pendaratan Ikan Beladin yang tertangguh.
AHMAD Shabery mencuba madu kelulut di Kampung Beladin.
AHMAD Shabery mencuba madu kelulut di Kampung Beladin.
USAHAWAN bot, Mohamad Japar Sari (kiri) melihat Ahmad Shabery mengecat bot.
USAHAWAN bot, Mohamad Japar Sari (kiri) melihat Ahmad Shabery mengecat bot.
Mohamad Hussin


Menyelami hati masyarakat di perkampungan nelayan di Beladin, Sarawak, sudah cukup membuatkan golongan itu tersentuh apabila menerima kunjungan rombongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Kunjungan diketuai Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan pegawai kanan kementerian.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh Gumbek, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor.

Penulis dijemput membuat liputan sepanjang program tiga hari dua malam ke situ bagi mendalami isi hati masyarakat di daerah berkenaan.

Kampung Beladin boleh dihubungi dengan pengangkutan air dan darat melalui bandar dan kampung berdekatan seperti Pusa, Sebuyau, Kuching, dan Sarikei.

Ia mempunyai jalan raya menghubungkan bandar dan kampung di sekitarnya. Jika dari Kuching dengan menaiki kenderaan terus ke Pusa mengambil masa empat hingga lima jam.

Sampai di Pusa, anda perlu menaiki feri di Tanjung Lilin sebelum meneruskan perjalanan ke Triso yang melalui beberapa kampung seperti Beladin, Sepinang, Semarang dan Meludam serta rumah panjang kaum Iban.

Kampung Beladin juga boleh melalui jalan raya melalui feri Triso ke Subuyau dan feri Sungai Buloh ke Kuching.

Razaili berkata, Kampung Beladin terletak dalam daerah Pusa di bawah pentadbiran bahagian Betong (bahagian ke-11 negeri Sarawak).

“Ia terletak di muara Sungai Saribas berhadapan dengan Laut China Selatan iaitu 468 kilometer (km) dari bandar raya Kuching.

“Jumlah penduduk­nya 9,228 orang dengan bilangan rumah hampir 1,500 buah membabitkan Kampung Hulu, Kampung Tengah, Kampung Hilir dan Kampung Darat.

“Kerajaan negeri rancak membangunkan kawasan ini dengan mewujudkan Bandar Baru Beladin di bawah Pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa Beladin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jalinan Tani Masyarakat Beladin, di Perkarangan Masjid al-Amin Kampung Beladin, baru-baru ini.

Katanya, kampung itu popular sebagai perkampungan nelayan bot pukat tunda laut dalam di Sarawak.

“Kebanyakan bot pukat tunda nelayan di sini dilengkapi peralatan moden, Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS), alat sonar, alat komunikasi radio, telefon mudah alih dan enjin berkuasa tinggi.

“Hasil tangkapan nelayan di sini kebanyakan dipasarkan di Kuching dan Sarikei kerana bot berpengkalan di Kuching,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Nelayan Kawasan Beladin Saribas ditubuhkan pada 1 Mac 1993.

“Sebelum ini, ia ditubuhkan atas nama Persatuan Nelayan Kawasan Pusa/ Beladin pada 4 Jun 1981 di mana unit Pusa bergabung dengan unit Beladin.

“Pada tahun 1991, unit Pusa memohon berpisah bagi menubuhkan persatuan sendiri iaitu Persatuan Nelayan Kawasan Layar Rimbas.

“Kawasan Kegiatan Persatuan Nelayan Kawasan Beladin Saribas meliputi Kampung Beladin, Kampung Semarang dan Kampung Sepinang,” katanya.

Seorang nelayan, Muslim Noh, 24, berterim kasih kepada MOA yang prihatin terhadap nasib golongan berkenaan.

“Walaupun tinggal di kawasan pendalaman, mereka tidak pernah melupakan kami. Sedikit sebanyak nasib kami terbela,” katanya.

Ahmad Shabery yang ditemui selepas lawatan itu berkata, pihaknya akan membina 170 rumah nelayan di kampung berkenaan bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

“Lokasi penempatan itu dikenal pasti dan pembinaan bermula dalam masa terdekat serta dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Kerajaan memperuntukkan RM16 juta dengan anggaran RM50,000 hingga RM60,000 bagi pembinaan setiap rumah nelayan itu. Rumah berkenaan berkeluasan 700 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya.

Menurutnya, pemilihan nelayan yang layak untuk memiliki rumah berkenaan diserahkan kepada kerajaan negeri.

Selain itu, katanya, projek pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan Beladin bernilai RM13 juta yang tertangguh akan siap selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan lagi bagi memberi kemudahan kepada nelayan terbabit.

“Ia lewat kerana beberapa isu berkaitan... ia memerlukan perubahan reka bentuk dan baru mendapat kelulusan. Jadi kita minta kontraktor untuk menyiapkannya segera.

“Saya harap projek ini siap dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi supaya pusat pendaratan ikan dapat digunakan untuk menjadi pasaran yang lebih besar lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 11:29 AM